Perkenalanku dengan F berlanjutan sehingga ke hari ini. Selepas dia menelefonku malam itu, perhubungan kami makin rapat, sehinggakan dia memanggilku dengan panggilan SAYANG menggantikan namaku, satu panggilan yang hanya digunakan oleh suamiku hanya ketika kami bersama.
Mungkin disebabkan kemesraannya, aku tergoda dengan kata-katanya. Terus terang aku katakan bahawa layananku kepada suamiku terus dingin dan hambar. Aku langsung tiada perasaan untuk menegur atau memandangnya, apatah lagi untuk memberi layanan di ranjang. Aku tahu suamiku resah kerana hampir 20 hari aku tidak melayannya di ranjang. Bukannya aku tidak tahu dosa pahala, tetapi nafsuku langsung tiada untuk suamiku.
Suamiku juga seakan-akan menghidu 'kecuranganku' terhadapnya, namun dia tidak berkata apa-apa. Aku tahu dia perasan semenjak kebelakangan ini telefonku amat kerap menerima sms daripada seseorang. Bukan setakat siang hari, sms itu juga kuterima sehingga ke lewat malam. Disebabkan suamiku selalu tidur awal, itu memberikan kelebihan kepadaku untuk 'bergayut' di telefon bersama F.
Lama-kelamaan aku jadi rindu dengan suara F. Kalau tidak mendengar suaranya sehari, perasaanku jadi resah dan tidak menentu. Sehinggakan hari-hari yang kulalui kurasakan panjang. Keadaanku menjadi bertambah 'parah' di hujung minggu. Ini kerana pada hari itu aku berada di rumah dan secara tidak langsung terpaksa mengadap wajah suamiku sepanjang hari. Mood aku akan bertukar ceria jika menerima sms drpd F, apatah lagi jika dia menghubungiku.
Suatu malam kami sekeluarga keluar ke Giant di bandar P, aku langsung tiada mood untuk berjalan bersama suamiku. Aku keluarpun disebabkan anak-anak. Sepanjang masa aku asyik teringatkan F. Tak sabar rasanya hendak pulang ke rumah dan menghubunginya. Kalau lelaki lain berada di tempat suamiku, tentu mereka perasan dengan perubahan sikapku itu. Masakan tidak, aku seolah-olah gelisah tidak menentu. Kurasakan masaku ingin kuluangkan untuk bersms atau bercakap dengan F.
Suatu hari di awal pagi sekitar jam 5.40 pagi, F smsku dan memaklumkan dia akan hubungiku dengan telefonnya. Perasaanku terasa cukup ceria di pagi itu. Aku terus ke bilik anakku. Hampir sejam kami berbual. Aku ceritakan sedikit demi sedikit masalahku kepada F. Itu pun setelah puas dia mendesak. F hanya mengatakan dia hanya ingin mengetahui kedudukan atau status aku ketika ini. Aku memberitahunya bahawa aku seolah-olah digantung tak bertali. Dan aku menyerahkan sepenuh keputusan kepadanya samada hendak meneruskan perhubungan ini atau sesebaliknya.
Selepas aku meletakkan telefon, F sms aku dan berterima kasih kerana sudi berkongsi masalah dan pengalaman hidupku dengannya. Katanya dia masih hendak meneruskan hubungan ini dan menyatakan kerinduannya kepadaku. Aku terharu dengan pengakuannya itu. Sungguhpun begitu, aku tidak mahu terlalu mengharap.
Sekali lagi pertanyaan yang satu itu datang ke benakku, BERDOSAKAH AKU?.....
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan