Khamis, 16 Julai 2009

Terlerai jua kekusutan itu, bahagia pula menjelma.

Coretanku bersambung lagi.......

Malam itu aku menerangkan semuanya. Pendek kata dari A - Z. Suamiku tidak memarahiku. Dia mendengar dengar sabar dan tekun. Tiada satupun perkataan kasar yang keluar dari mulutnya.

Dia amat-amat memahaminya. Selepas itu tiba pula gilirannya menerangkan sarau persatu kepadaku. Dia juga meluahkan dari A-Z juga. Terdengar sebak dihujung suaranya. Aku tahu dia jua sedih dengan dugaan yang menimpa kami kebelakangan ini.

Suamiku memberitahu bahawa aku adalah yang pertama dan terakhir untuk dirinya. Tiada lagi sesiapa yang dapat menjadi penggantinya. Aku amat terharu, tetapi aku hanya membatukan diri. Dia juga mengatakan bahawa selama ini dia kuat bekerja adalah untuk aku dan anak-anak. Dia rela susah asalkan aku dan anak-anak bahagia. Dia rela berkorban untuk kami. Aku tahu ada keikhlasan kepada kata-katanya itu. Ada air jernih mengalir dari kelopak matanya, kerana aku terasa dia menyapu dia matanya. Kata-katanyanitu seolah-olah memecahkan egoku terhadapnya. Aku amat terharu.

Kini kami sedar, masing-masing ada kesilapan yang dilakukan. Aku mengakui akan apa yang dinyatakannya berkenaan kekurangan diriku, begitu juga suamiku. Dia berjanji dengan sepenuh hati akan mengubah perangainya dan menjadi suami yang aku impikan. Aku juga begitu, berjanji akan mengubah perangai yang tidak digemari suamiku. Kami sama-sama berjanji. Walau bagaimanapun, hatiku masih belum boleh menerimanya semula. Aku meminta suamiku memberikan aku masa untuk menyesuaikan diri dan memujuk hatiku menerimanya semula.

Malam itu, dia memelukku sampai pagi. Pagi itu juga aku melihat perubahannya. Dia bangun mengerjakan solat subuh. Aku hanya memandang sahaja perlakuannya itu. Selesai solat aku mengejutkan anakku untuk kesekolah seperti biasa.

Sewaktu aku hendak pergi kerja, dia memelukku sekuat hati. seolah-olah tidak rela melepaskan aku. Kedua-dua belah pipiku dicium berkali-kali. Begitu juga dengan bibirku.

Di pejabat, aku lansung tiada mood. Aku muram sepanjang hari. Tengahari itu, dia menelefonku. Sebelum ini dia lansung tidak pernah berbuat begitu. Dia memberitahu sengaja menelefonku untuk mendengar suaraku. Aku hanya menjawap panggilan itu dengan nada yang biasa-biasa sahaja. Hatiku masih belum terbuka. Aku memintanya memberikan aku sedikit masa. Dia mengiyakan permintaanku itu. Di katakan aku boleh mengambil berapa banyak sahaja untuk kembali seperti biasa.

Petang itu di rumah, selepas pulang dari kerja aku berehat-rehat seperti biasa. Tapi aku bertekat untuk tidak lagi melakukan kesilapan lalu. Air mataku mengalir selepas aku solat Asar. Aku memohon petunjuk daripanya Allah agar memberikan ketenangan hati kepadaku.

Suamiku pulang dari kerja. Hari itu dia amat romantik. Ciuman dan pelukan sudah menjadi amalannya kepadaku. Terus-terang aku katakan aku amat menyenangi perlakuannya itu. Itulah yang amat aku harap-harapkan selama ini. Ada sahaja topik untuk dibualkan dan diceritan kepadaku. Syukur alhamdulillah.

Malam itu dia teruskan dengan romantiknya. Aku amat puas hati dengan perubahannya. Keesokan harinya, seperti ada sinar baru menerjah ke lubuk hatiku. Keceriaan kembali menyinari hidupku.

Tengahari itu sewaktu di pejabat, aku menelefon suamiku. Tiba-tiba sahaja aku memanggilnya dengan panggilan sayang. Pada mulanya dia sedikit kaget. Namun aku tahu, dia suka dengan panggilan itu. Dia jua memanggilku dengan panggilan sayang.

Suatu hari di hari Jumaat, suamiku bercuti. Dia memintaku pulang kerumah untuk makan tengahari. Apabila aku sampai ke rumah, dia menyambutku dengan pelukan dan ciuman. DI atas meja di pasangkan lilin, macam 'Candle Light Dinner' la pulak, tapi makan tenghari. Tapi tak kisahlah, janji aku amat sukakannya.

Sejak hari itu, suamiku semakin romatik dan berubah kepada perlakuan yang amat-amat aku dambakan sedari dulu. Aku jua mencuba sebaik mungkin untuk menyenangkan dirinya.

Perhubungan kami sebagai suami isteri seperti pengantin baru. Hubungan intim jangan cakaplah, memang macam pengantin baru. Duduk menonton sentiasa bermesra. Aku perasan anak-anakku menyedari perubahan kami. Tapi mereka buat macam biasa saja. Maklumlah, yang sulung hanya berumur 9 tahun, yang kedua pula 6 tahun dan yang bongsu cuma 3 tahun lebih. Tambahan pula ketiga-tiga anakku lelaki, jadi mereka tidaklah begitu 'pok-pek'. Lama-kelamaan nanti tentu mereka akan terbiasa dengan keadaan ini.

Walau bagaimanapun, kadang-kala aku masih lagi mengubungi F. F kini kuanggap hanya sebagai kawan-kawanku. Aku akui aku amat senang berbual-bual dengan F. Suamiku tahu aku masih berhubungan dengan F hanya sebagai kawan biasa sahaja. Suamiku amat understanding. Gambar F juga kutunjukan kepada suamiku. Suamiku menyatakan bahawa dia tak kisah, sebab dia tahu aku sekali-kali tidak akan menduakannya.

Sekian... tamat jua coretan ini.

Untuk suamiku... Terima kasih kerana memahami diri ini.

Akhir kata, SAYANGGGGGG SAYANG.

Khamis, 9 Julai 2009

Kekusutan yang hampir terlerai

Coretanku bersambung lagi.

Hubunganku dan suamiku terus tegang. Aku semakin tidak menyukainya. Mungkin kerana terlalu mengikut kata hati dan hasutan daripada syaitan.

Hubunganku dengan F berjalan seperti biasa. Aku semakin menyayanginya. Aku pun tak tahu bagaimana hatiku mudah sangat menerima lelaki itu. Setiap malam kami 'bergayut' di telefon. Aku tidak kisah untuk menghubunginya menggunakan telefon bimbitku. Sehinggakan pernah bil telefonku mencecah RM 250 sebulan. Aku seolah-olah dibuai mabuk asmara. Aku tidak fikirkan itu semua, asalkan aku dapat menghilangkan kebosananku untuk berbual. Aku seolah-olah tidak terfikir, jika F benar-banar serius dengan aku, tentulah dia akan berusaha untuk menghubungi aku walaupun secara sms sahaja. Ini tidak, nampak hanya aku sahaja yang terhegeh-hegah. Tambahan pula perkataan sayang juga jarang lagi dilafazkan kepadaku seperti dulu.

Kadang-kadang F hanya sekadar sms aku sahaja dan memaklumkan agar aku menghubunginya semula. Akur menurut sahaja permintaannya tanpa banyak soal. Aku akui F memang pandai melayan aku berbual. Dua minggu selepas perkenalan kami, F berhijrah ke KT untuk menyambung kursusnya di dalam bidang automatif. Dia tidak menerangkan dimana tempat tersebut. Aku masih tak kisah

Sejak itu hubunganku dengan F sedikit renggang. Dia jarang-jarang membalas sms aku. Alasan yg diberi adalah tiada kredit dan agak sibut dengan kursusnya itu. Aku masih ceria bersamanya. Setiap pagi juga aku masih membuat 'wake-up call' kepadanya. Sempat juga kami berbuat 10-15 minit. Kadang-kadang hanya beberapa minit sahaja. AKu juga turut menghubunginya sewaktu F keluar makan tengahari.

Suatu hari, di pagi Selasa selepas bersalam dengan suamiku ketika hendak pergi kerja, suamiku terus memelukku dan mengatakan dia amat-amat sayangkan aku dan hanya aku satu-satunya untuk dia. Aku hanya memandangnya dengan perasaan biasa sahaja.

Aku dapat mengagak yang suamiku inginku seperti dulu semula. Tambahan pula hampir sebulan dia tidak mendapat 'layanan di ranjang' . Sengaja aku melakukan sedemikian untuk memberi pengajaran dan menarik perhatiannya agar memandang serius permasalahan kami.

Malam itu selepas 'bergayut' dengan F di telefon, aku masuk ke bilik seperti biasa. Aku dapati suamiku masih belum tidur dan masih melayan rancangan di televisyen. Rasa kekok berada dengannya berduaan di dalam bilik, sedangkan kami adalah suami isteri. Mungkin ini kerana hampir sebulan hubungan kami hambar dan masing-masing seolah-olah membuat hal masing-masing.

Aku duduk di birai katil sekejap untuk menonton tv buat seketika. Suamiku menghampiri, sambil memelukku, dia bertanyakan tentang perubahan sikapku itu. Aku malas untuk melayannya lalu terus ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk untuk sembahyang Isyak.

Selesai sembahyang aku menutup lampu dan terus merebahkan badan ke tilam. Suamiku masih menonton TV. Aku tidak menghiraukannya. Dia menghampiriku dan memelukku dari belakang. Dengan mesra di bertanyakan lagi hal tadi. Tanpa membuang masa aku terus meluahkan apa yang telah lama terbuku. Semuanya kuluahkan tanpa berselindung lagi. Dari sikapnya yang suka membisu sehinggalah kepada tindakannya yang tidak menghiraukan aku.

Coretan ini bakal bersambung ............

Isnin, 29 Jun 2009

BERDOSAKAH AKU ? 2

Perkenalanku dengan F berlanjutan sehingga ke hari ini. Selepas dia menelefonku malam itu, perhubungan kami makin rapat, sehinggakan dia memanggilku dengan panggilan SAYANG menggantikan namaku, satu panggilan yang hanya digunakan oleh suamiku hanya ketika kami bersama.

Mungkin disebabkan kemesraannya, aku tergoda dengan kata-katanya. Terus terang aku katakan bahawa layananku kepada suamiku terus dingin dan hambar. Aku langsung tiada perasaan untuk menegur atau memandangnya, apatah lagi untuk memberi layanan di ranjang. Aku tahu suamiku resah kerana hampir 20 hari aku tidak melayannya di ranjang. Bukannya aku tidak tahu dosa pahala, tetapi nafsuku langsung tiada untuk suamiku.

Suamiku juga seakan-akan menghidu 'kecuranganku' terhadapnya, namun dia tidak berkata apa-apa. Aku tahu dia perasan semenjak kebelakangan ini telefonku amat kerap menerima sms daripada seseorang. Bukan setakat siang hari, sms itu juga kuterima sehingga ke lewat malam. Disebabkan suamiku selalu tidur awal, itu memberikan kelebihan kepadaku untuk 'bergayut' di telefon bersama F.

Lama-kelamaan aku jadi rindu dengan suara F. Kalau tidak mendengar suaranya sehari, perasaanku jadi resah dan tidak menentu. Sehinggakan hari-hari yang kulalui kurasakan panjang. Keadaanku menjadi bertambah 'parah' di hujung minggu. Ini kerana pada hari itu aku berada di rumah dan secara tidak langsung terpaksa mengadap wajah suamiku sepanjang hari. Mood aku akan bertukar ceria jika menerima sms drpd F, apatah lagi jika dia menghubungiku.

Suatu malam kami sekeluarga keluar ke Giant di bandar P, aku langsung tiada mood untuk berjalan bersama suamiku. Aku keluarpun disebabkan anak-anak. Sepanjang masa aku asyik teringatkan F. Tak sabar rasanya hendak pulang ke rumah dan menghubunginya. Kalau lelaki lain berada di tempat suamiku, tentu mereka perasan dengan perubahan sikapku itu. Masakan tidak, aku seolah-olah gelisah tidak menentu. Kurasakan masaku ingin kuluangkan untuk bersms atau bercakap dengan F.

Suatu hari di awal pagi sekitar jam 5.40 pagi, F smsku dan memaklumkan dia akan hubungiku dengan telefonnya. Perasaanku terasa cukup ceria di pagi itu. Aku terus ke bilik anakku. Hampir sejam kami berbual. Aku ceritakan sedikit demi sedikit masalahku kepada F. Itu pun setelah puas dia mendesak. F hanya mengatakan dia hanya ingin mengetahui kedudukan atau status aku ketika ini. Aku memberitahunya bahawa aku seolah-olah digantung tak bertali. Dan aku menyerahkan sepenuh keputusan kepadanya samada hendak meneruskan perhubungan ini atau sesebaliknya.

Selepas aku meletakkan telefon, F sms aku dan berterima kasih kerana sudi berkongsi masalah dan pengalaman hidupku dengannya. Katanya dia masih hendak meneruskan hubungan ini dan menyatakan kerinduannya kepadaku. Aku terharu dengan pengakuannya itu. Sungguhpun begitu, aku tidak mahu terlalu mengharap.

Sekali lagi pertanyaan yang satu itu datang ke benakku, BERDOSAKAH AKU?.....

Rabu, 24 Jun 2009

BERDOSAKAH AKU?

Coretan ini adalah luahan rasa seorang isteri yang kesunyian. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam situasi yang aku alami kini. Mungkin keadaan yang mendesak sehinggakan aku terhumban ke dalam dilema ini.


Segalanya bermula dengan sikap suamiku yang 'tak tahu nak bercakap'. Aku akui suamiku memang seorang yang baik. Tetapi baik sahaja tidak cukup untuk seorang perempuan yang bernama isteri. Bukan sehari dua, bukan juga sebulan dua dan bukan juga setahun dua aku bersabar dengan keadaan ini, tetapi dah hampir 10 tahun aku memendam perasaan ini.


Suamiku seorang yang amat amat amat pendiam. Jika berada di rumah, dia hanya akan bercakap sepatah dua sahaja. Kadang-kadang lansung dia tidak terasa untuk bercakap. Dah puas kami berbincang. Dah banyak air mataku menitis sepanjang mengharungi situasi ini. Dah puas rasanya aku meluahkan perasaan kepadanya agar dia mengubah sikapnya itu, tetapi semuanya bagai mencurah air di atas daun keladi. Dia hanya akan berubah untuk dua atau tiga hari sahaja. Selapas itu dia akan kembali ke perangai asalnya.


Keadaanku akan lebih tertekan jika pada hujung minggu. Bayangkan jika anda berada di dalam situasi ini. Anda seolah-olah berkahwin dengan 'orang bisu' (hakikatnya tidak). Perkataan yang hendak dilontarkan dari mulutnya seolah-olah terlalu mahal. Boleh dikira dengan jari butir ayat yang dicakapkan. Tiada langsung perkataan berbua-bual di dalam diari hidupnya. Nasib baik ada anak-anak yang kelatah dan boleh dibawa bercakap. Namun, itu masih tidak dapat mengubati kelukaan di hati ini.

Tanpa dia sedari, tindakannya itu merupakan bom jangka buat diriku. Sedikit demi sedikit kasih sayangku kepada suamiku makin terhakis. Kadang-kadang terasa aku seperti dipinggirkan ke tepi. Aku tak tahu apakah yang ada di dalam fikirannya.


Setelah hampir 10 tahun bersabar dengan situasi ini, secara tidak sengaja muncul seorang pemuda yang aku kenali secara tidak sengaja telah menghantar sms kepadaku dan ingin berkawan dan mengenaliku dengan lebih rapat. Namanya Ir.... dan aku hanya memanggilnya F..
Sebetulnya aku memang tidak pernah melihat wajahnya.


Aku menyambut salam perkenalannya dan saling membalas sms dengannya. F memang pandai berbual. Terus terang aku katakan dia betul-betul dapat mengisi kekosongan yang aku alami selama ini. Jika selama ini aku hanya berbalas-balas sms sahaja dengan F, tetapi malam td buat pertama kali dia menghubungiku. Hampir sejam lebih juga kami berbual. Aku berterus-terang dengannya tentang statusku sebagai isteri orang. Jauh di sudut hatiku aku hanya mengaggapnya hanya sebagai kawan yang dapat menghiburkan aku dikala kesunyian.


Memang aku selesa berbual-bual dengannya. Tambahan juga dia berasal satu negeri denganku. Aku amat-amat berharap agar persahabatan kami akan berpanjangan. Aku tidak mengharapkan lebih daripadanya. Cukuplah sebagai teman berbual. Semoga Allah melindungiku dari bisikan syaitan.

Satu saja persoalan yang bermain di kotak fikiranku, BERDOSAKAH AKU?????